ru_01.3

Virus juga mempunyai kebaikan kepada manusia.

“Bacteriophage (virus yang membunuh bakteria) digunakan sebagai vektor untuk terapi gen bagi penyakit Parkinson.

“Virus tidak merosakkan sel tetapi terus membiak bersama dengan gen perumah. Ia menukarkan gen virus berbahaya menyebabkan gen cacat pesakit diperbetulkan,” ujar Siti Suri.

Katanya lagi, virus Vesicular stomatitis (VSV) pula boleh digunakan untuk merawat kanser yang dimasukkan ke dalam sel darah putih jenis Tsel yang bertindak sebagai ‘pemburu kanser’.

“Ia berperanan menjejak dan membunuh sel barah dalam nodus limpa, hati, dan limpa tanpa menjejaskan sel normal spleen,” katanya.

Prof. C.T Tan, 55, pakar perubatan dari Universiti Malaya yang mempunyai pengkhususan dalam kajian otak manusia adalah seorang lagi ‘pemburu virus’ yang aktif di negara ini.

Beliau ialah salah seorang daripada kumpulan saintis perubatan Universiti Malaya (UM) yang mengenal pasti virus Nipah.

“Bayangkan anda menyelamatkan ratusan nyawa manusia apabila satu wabak melanda pada September 1998 dan Jun 1999 di kawasan penternakan babi di Perak, Negeri Sembilan serta Selangor.

“Sebanyak 265 orang individu dijangkiti dan mengakibatkan 105 kematian. Jika kita tidak mengenal pasti dengan cepat mungkin wabak ini akan mengakibatkan jumlah kematian yang lebih besar.

“Malah ramai menyangka wabak ini disebabkan oleh Japanese Ensefalitis (JE) tetapi punca sebenarnya ialah virus Nipah bawaan kelawar yang terus menyerang otak manusia.

“Mangsa akan mengalami sakit kepala yang teruk, sawan, loya dan demam panas,” katanya.

Untuk mengenal pasti penyakit seseorang, kaedah Pengimejan Resonan Magnetik digunakan untuk mengesan bahagian otak pesakit yang terjejas.

Kemudian ujian serologi iaitu kajian tentang serum darah dan juzuk-juzuk khususnya sumbangan kepada perlindungan tubuh menentang penyakit dilakukan.

Ini untuk mengenal pasti antibodi yang menentang virus serta menentukan sama ada seseorang itu dijangkiti virus atau tidak.

“Namun saya begitu khuatir dengan penyebaran wabak disebabkan oleh virus selesema yang menyebabkan banyak kematian dan memberi kesan ekonomi yang teruk.

“Bayangkan kesan wabak Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) yang berlaku di Asia dahulu apabila tersebar ia kepada manusia,” ujar Tan.

Kuasa membunuh yang menakutkan

Bagi pakar virologi terkenal dan juga bekas pengarah Pusat Influenza Kebangsaan (Malaysia) WHO, Prof. Emeritus Datuk Dr. Lam Sai Kit, 66, minatnya untuk mengkaji virus tercetus apabila mendapati virus berbeza daripada bakteria dan mempunyai kuasa membunuh yang menakutkan.

“Malah kesukaran mencari penawar virus menyebabkan saya menyambung pengajian di universiti di Australia dengan mengutip pengalaman daripada pakar virologi terkenal di sana.

“Pengalaman yang tidak dapat dilupakan ialah semasa menyiapkan projek sarjana. Bagi melaksanakan tugasan itu saya dihantar ke sebuah kawasan hutan di Papua New Guinea untuk mengkaji virus baru di kalangan haiwan liar.

“Bayangkan di hutan tebal kita tidak biasa dengan persekitarannya. Namun apabila Universiti Malaya membuka Fakulti Perubatan saya ditawarkan menjadi pakar virologi,” katanya kepada Jurnal.

Dr. Lam memberitahu, beliau suka mencabar diri mengenal pasti virus yang menyebabkan penyakit kepada pesakitnya.

“Beribu-ribu ujian dilakukan seperti wabak denggi EV71 encephalitis yang bermula di Malaysia Timur pada 1997, Chikungunya pada 1998 dan virus Nipah pada 1999.

“Malah kita berbangga kerana penyelidik negara kita sendiri yang menemui Virus Nipah serta membantu negara lain seperti Bangladesh yang sedang menghadapi wabak itu kini,” katanya.

Namun Dr. Lam melahirkan kebimbangan tidak ramai saintis perubatan yang minat mengkaji virus.

“Virus sendiri banyak merebak contohnya virus H1N1. Baru kita mencari vaksin bagi virus selesema burung yang baru pula timbul. Malah tiada vaksin ditemui bagi kes demam denggi selain vaksin HIV.

“Realitinya penyakit mampu merebak dengan pantas dan kini satu kes H1N1 dikesan di Malaysia.

“Kerana itu perlunya kajian berterusan dan melahirkan ramai lagi pakar virus untuk kebaikan sejagat,” katanya.